Luis Suarez sudah merancang untuk meninggalkan Barcelona bagi menyertai bekas pasukan pertamanya, Nacional, ketika Sebastian Abreu berpeluang untuk menjadi jurulatih pasukan itu, demikian kata bekas pemain Uruguay berkenaan.

Nacional tidak memiliki jurulatih ketika Alvaro Gutierrez meletak jawatan pada penghujung tahun lalu dengan Abreu -- yang pernah menghabiskan tempoh selama tiga musim sebagai pemain pasukan itu -- mengakui bahawa dia merupakan calon utama untuk mengisi jawatan berkenaan.

Abreu mendedahkan bahawa berdasarkan perbualannya dengan Suarez, penyerang itu bersedia untuk kembali ke negaranya walaupun dia merupakan antara pemain dengan gaji tertinggi di Sepanyol dan masih memiliki kontrak bersama Barcelona sehingga 2021.

Abreu merupakan rakan sepasukan Suarez dalam skuad kebangsaan Uruguay dari tahun 2007 hingga 2012 dengan kedua-dua pemain itu merupakan sebahagian daripada pasukan yang membantu negara mereka menduduki tempat keempat Piala Dunia 2010 dan penyerang Barca berkenaan sudah bersedia untuk kembali bergandingan dengan pemain dengan gelaran 'El Loco' itu.

"Saya memiliki peluang yang amat besar (untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan)," katanya kepada siaran radio Uruguay, Sport 890.

Qué lindo volver a estar entrenando en @aufoficial ???? • ? @emiliano.aguirree

A post shared by Luis Suarez (@luissuarez9) on


"Dan apabila tiba tarikh itu selepas 18 Disember lalu, Luis sepatutnya menyertai saya.

"Saya berkata kepadanya: 'Baik, Lucho, ia masih belum pasti tetapi ada kemungkinan... Apa situasi anda? Apa akan kita lakukan?'

"(Abreu mendakwa Suarez menjawab:) 'Jika anda menjadi jurulatih, biar saya berbincang dengan Sofi, biar saya berbincang dengan keluarga saya. Saya sentiasa katakan bahawa jika anda menjadi jurulatih, saya akan kembali.'"

Dia menambah: "Kembali ke Nacional merupakan sesuatu yang menjadi motivasi buat Luis, ia cabaran yang baik."

Bagaimanapun, bekas penjaga gol Uruguay, Gustavo Munua, terpilih untuk mengisi jawatan itu.

Abreu pula kekal sebagai jurulatih merangkap pemain Boston River dan Suarez dijangka akan kekal di Camp Nou sehingga kontraknya tamat.