Luis Suarez sangat gembira di Barcelona tetapi mengakui dia terbuka dengan kemungkinan berpindah menyertai Liga Bolasepak Utama (MLS).

Bintang Uruguay itu kini memasuki musim keenam di Camp Nou dan kontraknya berbaki semusim lagi dalam perjanjian yang dicapai.

Suarez, yang bakal memasuki usia 33 tahun pada Januari depan dilaporkan menjadi sasaran kelab milik David Beckham, Inter Miami, menjelang sepak mula MLS tahun depan.

Beberapa bintang dikaitkan dengan perpindahan dalam beberapa tahun terakhir, termasuk Zlatan Ibrahimovic dan Wayne Rooney, tatkala pemain muda berbakat telah dibawa keluar dari Amerika Selatan.

"MLS adalah saingan yang telah meningkat dalam beberapa tahun terakhir dan anda boleh lihat bagaimana pemain muda berpindah ke sini dari Amerika Selatan.," kata Suarez.

"Ia membuktikan liga sedang cuba meningkat dan bukan sahaja membawa masuk pemain dengan usia tertentu untuk bersara di sini. Mereka tampak cuba untuk terus meningkatkan saingan liga."

Awal bulan ini, pemain tengah Seattle Sounders, Nicolas Lodeiro, mendedahkan dia ada berbincang dengan Suarez mengenai kemungkinan untuk menyertainya dalam MLS.

Bekas penggempur Liverpool itu mengesahkan perbincangan telah diadakan dan dia tidak menolak kemungkinan itu sambil mendakwa perancangan untuk beraksi di Amerika Syarikat sangat bagus.

"Saya dan Lodeiro tidak memberikan sebarang komitmen," ujar Suarez.

"Saya ada berbual dengannya. MLS adalah liga di mana setiap pemain berminat untuk menyertainya. Saya ada bertanya mengenai saingan dan rakan sepasukannya.

"Saya mempunyai kontrak dengan Barca dan sangat gembira di sini. Di masa akan datang, anda tidak akan tahu kerana ia satu saingan yang menarik.

"Saya bertuah dapat menikmati kejayaan di peringkat tertinggi dalam tempoh yang panjang. Saya perlu lihat kestabilan keluarga dan anak-anak.

"Mereka akan membuat keputusan bersama saya tetapi aksi di Amerika Syarikat adalah satu kemungkinan."