Luis Suarez telah membantu rakan sepasukannya di Barcelona, Ousmane Dembele, dan doktor kelab untuk mencari penyelesaian berhubung masalah kecederaan pemain itu yang berlarutan.

Dembele dibawa keluar dalam babak pertama aksi Liga Juara-Juara Eropah sewaktu menewaskan Borussia Dortmund 3-1 akibat kecederaan paha.

Pemain sayap itu bakal menjalani ujian untuk mengetahui tahap kecederaannya tetapi dia dijangka terlepas aksi LaLiga menentang Atletico Madrid, Ahad ini.

Dembele mengalami tiga masalah di bahagian paha musim ini, sekali gus meneruskan episod kecederaan yang dilalui sejak hadir daripada Dortmund pada Ogos 2017 menerusi yuran perpindahan berjumlah EUR105 juta (RM428 juta).

Pemain berusia 22 tahun itu -- yang hanya tampil lima kali dalam kesebelasan utama bagi semua kejohanan musim ini -- juga berdepan dengan persoalan mengenai tahap profesionalismenya sewaktu melalui detik sukar di Sepanyol.

Situasi itu membuatkan Suarez menggesa agar pemain sayap itu dan pihak perubatan kelab melakukan sesuatu untuk menghentikan episod kecederaan tersebut.

"Dembele dan doktor perlu cuba mendapatkan penyelesaian bagi masalah kecederaannya," katanya.

"Mereka perlu melihat jumlah kecederaan yang dialami selepas pulih. Kami harap dia segera kembali."

Dalam aksi di Camp Nou itu, Suarez memberikan Barca pendahuluan sebelum membuka ruang buat Lionel Messi menambah gol kedua dan bintang Argentina itu memainkan peranan sama dalam gerakan yang membawa kepada jaringan Antoine Griezmann, yang masuk menggantikan Dembele.

Jadon Sancho menyumbat jaringan sagu hati buat Dortmund tetapi Barca mengesahkan kemenangan untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Sambil menegaskan gandingannya dan Messi semakin mudah selepas lima tahun beraksi bersama, Suarez mengakui mereka tidak sabar untuk melihat Griezmann menyumbat jaringan bagi meraih keyakinan selepas mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang gol.

"Saya sering berkata sewaktu meluangkan masa bersama, setiap hari selama bertahun-tahun membuatkan gandingan saya dan Messi semakin mudah," katanya.

"Anda mula berlari apabila tahu dia akan melakukan hantaran. Kami sentiasa mencari pilihan terbaik. Normal untuk mendapatkan antara satu sama lain kerana kami adalah penggempur utama."

"Seperti apa yang berlaku kepada rakan sepasukan, Griezmann sukar menjaringkan gol, membuatkan kami sentiasa mencarinya. Dia berpeluang dan menghasilkan gol. Ia penting untuk keyakinannya."