Luis Suarez mengakui keputusan 2-2 di antara Barcelona dan Celta Vigo dalam perlawanan LaLiga di Abanca-Balaidos awal pagi tadi memberikan perasaan yang tidak senang memandangkan perlawanan itu cukup penting dalam perebutan kejuaraaan musim ini.

Barca mendahului sebanyak dua kali dalam perlawanan itu tetapi Celta mencuri satu mata menerusi gol sepakan percuma ketua pasukan, Iago Aspas, pada minit ke-88.

Suarez menjaringkan kedua-dua gol pasukan pelawat itu, bagi menamatkan kemarau jaringannya selepas berehat sejak Januari lalu berikutan kecederaan lutut, namun kecewa apabila pasukannya melepaskan kesempatan itu.

Ketika skuad kendalian Quique Setien itu kembali ke puncak liga dengan kelebihan satu mata daripada perlawanan berkenaan, Real Madrid akan memintas mereka semula seandainya dapat mengelakkan kekalahan ketika berdepan pasukan di tangga tercorot, Espanyol, awal pagi esok.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu turut memegang kelebihan daripada segi rekod pertemuan ka atas Barca selepas mengutip empat mata daripada dua pertemuan Clasico musim ini.

"Ia merupakan perlawanan yang amat penting musim ini," kata Suarez kepada LaLiga TV selepas perlawanan itu.

"Kami memperoleh separuh masa pertama yang baik, mencipta peluang tetapi ia berbeza dalam babak kedua, Celta mahu menjadi lebih agresif.

"Keputusannya memberikan rasa yang pahit, memberikan kesedihan dan kekecewaan kerana kami hilang dua mata," katanya.

Lionel Messi membantu kedua-dua jaringan Suarez, yang bertindak bijak ketika menanduk masuk jaringan pertama dari jarak dekat susulan sepakan percuma.

Penyerang berbangsa Uruguay itu sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-67 selepas Fedor Smolov menyamakan kedudukan pada awal babak kedua, namun dua jaringannya itu masih belum mencukupi.

"Bagi pihak saya, saya gembira kerana dapat membantu dengan jaringan itu tetapi saya marah kerana terdapat perkara yang perlu diperbetulkan.

"Ini adalah perlawanan di tempat lawan yang rumit, sama seperti menentang Villarreal.

"Tetapi sebelum itu, kami akan menantikan kunjungan Atletico (Madrid)," tambahnya.