Luis Suarez berkata pengurus Barcelona yang berada di bawah tekanan, Ernesto Valverde, tidak boleh dipersalahkan susulan kekalahan pendahulu LaLiga itu di tangan Atletico Madrid dalam separuh akhir Piala Super Sepanyol.

Awal pagi tadi, Barca dikejutkan dengan kekalahan 3-2 apabila melepaskan dua gol lewat untuk membenarkan Atletico melangkah ke final di Jeddah, Arab Saudi.

Jaringan daripada Lionel Messi dan Antoine Griezmann memadamkan gol pembukaan Koke pada minit ke-46 sebelum Barca lemas dengan dua jaringan dalam sembilan minit terakhir, sekali gus memberi laluan buat Atletico menempah tiket final menentang Real Madrid.

Keputusan itu membuatkan masa depan Valverde sekali lagi menjadi persoalan tetapi penyerang, Suarez, mempertahankan pengurus berusia 55 tahun itu.

"Valverde tidak boleh dipersalahkan. Kesilapan itu datang daripada kami dan kami gagal," katanya.

"Saya tak tahu jika kekalahan ini membantu kami berkembang tetapi ia bukti terdapat perkara yang perlu diperbaiki.

"Ia menunjukkan bahawa wujud kesilapan yang langsung tidak boleh dilakukan kerana kami mengawal keseluruhan perlawanan tetapi membiarkan lawan menghukum dengan serangan balas."

Griezmann turut kecewa dengan keputusan itu tatkala penggempur itu menyalahkan kesilapan pasukannya menyebabkan kekalahan di Jeddah.

"Saya fikir kami tewas kerana kesilapan sendiri dan lawan mempunyai kudrat sehingga penghujung perlawanan," katanya.

"Ia memberi kesan kepada kami dan seluruh psaukan perlu bekerja keras selepas ini.

"Kami semua melakukan kesilapan. Saya melakukan hantaran yang teruk dan jaringan lawan hadir. Ia kesilapan yang boleh membuatkan anda terlepas Liga Juara-Juara Eropah atau kejuaraan liga."



Editor: Nafis Abdullah