Luis Suarez akan menjalani pembedahan meniskus luaran di lututnya hari ini, demikian disahkan Barcelona.

Suarez, 32, bergelut dengan kesakitan di lutut kanannya sepanjang beberapa minggu lalu sebelum disahkan perlu menjalani pembedahan bagi mengelakkan komplikasi sepanjang baki perlawanan musim ini.

Laporan media yang bertebaran sejak kelmarin melaporkan Suarez berkemungkinan terpaksa berehat panjang gara-gara masalah itu.

Dan berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan semalam, Barca mengesahkan bahawa penyerang kebangsaan Uruguay itu akan menjalani pembedahan di bawah seliaan pakar lutut, Dr. Ramon Cugat.

Kehilangan Suarez akan memberikan tamparan besar buat Barca memandangkan Lionel Messi, Antoine Griezmann, Ansu Fati dan pemain yang masih cedera, Ousmane Dembele, lebih memilih untuk memegang peranan sebagai pemain sokongan di belakang penyerang utama itu.

Walaupun terdapat laporan mendapati Barca sedang mengenal pasti pengganti jangka panjang buat penyerang itu, Suarez masih menikmati satu lagi musim gemilang dalam LaLiga.

Hanya Messi dan Karim Benzema mampu mengatasi rekod 11 jaringannya musim ini sambil dia turut memegang rekod bantuan tertinggi dengan tujuh bantuan jaringan setakat ini.

Ketika Barca masih belum mengesahkan tempoh rehat pemain itu, terdapat laporan bahawa Suarez mungkin akan diketepikan selama sebulan.

Ia bermakna dia akan terlepas perlawanan menentang Granada, Valencia, Levante dan Real Betis selain berisiko tidak dapat beraksi dalam perlawanan pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Napoli pada 25 Februari ini dan pertembungan 'El Clasico' empat hari kemudian.



Editor: Muzaffar Musa