Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menggesa Daniel Sturridge agar terus fokus walaupun timbul spekulasi tentang masa depan penyerang itu.

Sturridge, 28, hanya membuat empat penampilan utama dalam Liga Perdana Inggeris pada musim ini dan empat penampilan lagi adalah daripada bangku simpanan di samping menjaringkan dua gol.

Pemain antarabangsa England itu mungkin memerlukan lebih banyak masa perlawanan jika mahu berada dalam skuad Piala Dunia Gareth Southgate tetapi Klopp -- yang berkunjung ke Sevilla untuk Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi nanti -- berkata dia mahu Sturridge memberi tumpuan kepada Liverpool.

"Saya dapat membayangkan seorang pemain dengan kualiti sepertinya tidak gembira kerana tidak selalu memulakan perlawanan tetapi itu sahaja," katanya kepada akhbar UK.

"Situasi dengan pemain itu benar-benar baik. Pada masa ini, kami berada pada November dan memerlukan semua pemain kami -- walaupun dia berasa sedikit berbeza.

"Tinggal kira-kira satu setengah bulan sebelum jendela (perpindahan) dibuka dan saya tidak fikir tentang perkara seperti ini. Terdapat banyak perlawanan sebelum itu dan saya memerlukan mereka semua," tambahnya.

Sturridge membuat 26 penampilan utama dan menjaringkan 21 gol liga pada 2013-14 tetapi sejak itu, dia menjaringkan 17 gol liga dalam 29 penampilan.