Sturridge cemerlang di bawah kendalian Southgate

Oleh Staff Writer 14 November 2016 0
Sturridge cemerlang di bawah kendalian Southgate

Daniel Sturridge bertekad membalas kepercayaan pengendali sementara England, Gareth Southgate, yang menurunkannya selaku penyerang tonggak The Three Lions dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 setakat ini.

Sturridge hanya beraksi selama 19 minit bersama Liverpool musim ini selepas gagal memikat hati pengendali, Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, senario berbeza berlaku buat pemain berusia 27 tahun itu di pentas antarabangsa apabila dia telah turun selaku kesebelasan utama dalam tiga perlawanan setakat ini.

Kepulangan penyerang Tottenham, Harry Kane, daripada kecederaan memberi bayangan bahawa Sturridge bakal kehilangan tempatnya, namun Southgate meneruskan kepercayaannya terhadap pemain itu.

"Saya berasa cukup baik ketika ini kerana dapat menyumbangkan gol," kata Sturridge yang meledak gol pertama dalam kemenangan 3-0 ke atas Scotland pada Jumaat.

"Southgate telah meletakkan kepercayaan tinggi terhadap saya, jadi saya sedang cuba membalas kepercayaan itu dengan memberikan aksi terbaik saya.

"Kami tewaskan Scotland, perlawanan itu memberi makna besar kepada kami.

"Sangat penting untuk seorang pemain mendapat kepercayaan daripada jurulatih."

Sementara itu, Sturridge menafikan dakwaan bahawa kegagalannya bermain sebagai satu pasukan menjadi punca dia kehilangan tempat di Anfield.

"Saya tidak bimbang akan perkara itu, kerana dakwaan seperti itu tidak adil," katanya. "Saya juga membuat sumbangan dengan melakukan bantuan dan jaringan. Jadi, saya tidak gusar dengan apa yang diperkatakan."



Tentang Penulis

Staff Writer

Komen