Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menafikan pembubaran Piala Presiden dan Piala Belia, sebaliknya menegaskan dua kejohanan itu hanya akan melalui penstrukturan semula musim depan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan setelah timbul spekulasi dua kejohanan peringkat umur itu akan dibubarkan musim depan.

FAM selaku penganjur dikatakan akan mewujudkan kejohanan baru, iaitu saingan Liga Simpanan yang terbuka tanpa had umur pemain.

"Itu mungkin spekulasi yang salah. Apa yang telah dibincangkan semalam adalah format Piala Presiden dan Piala Belia, bukan ada atau tiada. Kami melihat dua kejohanan ini sebagai satu saingan yang amat penting," katanya.

Terdahulu, Stuart hadir dalam sesi praktikal bagi Program Bola Sepak Untuk Sekolah anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Petaling Jaya, hari ini.

Diketuai oleh Pakar Teknikal FIFA, Jamie Houchen, sesi itu mendidik pelajar mengenai kemahiran asas bola sepak dengan tujuan meningkatkan bilangan kanak-kanak bermain bola sepak di sekolah rendah.

"Kandungan yang diterima daripada FIFA boleh dilaksanakan di seluruh Malaysia menerusi sekolah, di mana ia dijadikan sentuhan pertama dalam hidup. Guru-guru dan tenaga pengajar akan memastikan ia tidak hilang daripada kehidupan anak muda," tambah Stuart.