"Tunggu keputusan muktamad Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM),",demikian kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, yang berharap kemelut Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak akan berakhir dengan penggantungan.

Stuart mendedahkan FAM, FAS, PSM dan pihak terbabit telah mengadakan perjumpaan kelmarin.

Namun, pihak berkenaan langsung tidak mendedahkan satu kongres agung luar biasa (EGM) akan diadakan, malam semalam.

Beliau menjelaskan PSM sedang meneliti adakah EGM terbabit sah berdasarkan statut sedia ada dalam FAS.

"Kami mengharapkan FAS akan berbincang dengan PSM mengenai hal ini. Kami akan memberikan bantuan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini," kata Stuart.

Selain itu, Stuart optimis situasi yang berlaku dalam FAS tidak akan menjurus kepada penggantungan daripada PSM.

"Saya tidak berasakan FAS akan digantung. Mereka hanya menghadapi isu dalaman melibatkan perebutan kuasa dan ia tidak menghukum sehingga penggantungan persatuan."

Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dengan menyifatkan EGM yang berlangsung adalah tidak sah berdasarkan artikel 30 yang termaktub dalam statut FAS.

Sementara itu, EGM yang merupakan kali pertama dalam sejarah FAS itu diadakan selepas timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli gabungan mengenai beberapa perkara.

Antaranya isu membabitkan pelantikan Naib Presiden, Izhar Moslim dan Setiausaha Agung, Dr Johan Kamal Hamidon, yang didakwa tidak mengikut perlembagaan.

"Saya mengulangi EGM ini dilakukan kerana telah mengguris hati beberapa ahli gabungan persatuan," kata Naib Presiden, Datuk Ariffin Ab Hamid.

Tindakan pihak terbabit mengadakan EGM itu bagaimanapun mendapat kecaman netizen dalam laman media sosial, terutama penyokong Selangor.