Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mahu mendapatkan penjelasan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penelitian di atas keputusan denda RM190,000 ke atas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Kekecohan di Stadium Utama Gelora Bung Karno dalam aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022 pada 5 September lalu bukan sahaja mencetuskan kontroversi antarabangsa, malah ia turut melibatkan kecederaan penyokong Malaysia.

Menerusi keputusan yang dikeluarkan FIFA semalam, ia mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong tanah air dan FAM bercadang untuk mendapatkan penjelasan daripada badan antarabangsa itu di atas penelitian yang telah dibuat dalam perlawanan kontroversi itu.

"Kami bukan pencetus kepada kes melibatkan FIFA dan PSSI tetapi Malaysia adalah salah satu mangsa, di mana telah dipersalahkan dalam situasi itu.

"Untuk memastikan penjelasan kepada media dan penyokong yang berada di Gelora Bung Karno tempoh hari, kami telah menuntut keterangan jelas daripada FIFA untuk diberikan kepada penyokong," katanya.

Dalam masa sama, FAM turut diberi amaran merujuk kepada kegagalan mengawal penonton yang membaling botol air ke dalam padang ketika aksi melibatkan Harimau Malaya dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Aksi berdepan UAE tempoh hari, di mana selepas jaringan pertama dihasilkan lawan, ada balingan botol air ke dalam padang sehingga menyebabkan beberapa isu berbangkit daripada perlawanan itu. Mungkin tidak serius tetapi kami telah menerima amaran daripada FIFA berhubung insiden tersebut," katanya.