Kem latihan secara kuarantin mungkin dimulakan seawal penghujung bulan ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalinggam.

Kebenaran itu mungkin akan bermula dengan skuad B-19 tahun kendalian Brad Maloney.

Hasil perbincangan Rabu lalu, Maloney dan FAM mencapai kata sepakat untuk mengumpulkan pemain muda negara sebagai persediaan menhadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Kem kuarantin yang akan diadakan itu mirip seperti yang dilakukan Majlis Sukan Negara (MSN) buat Program Latihan Road to Tokyo (RTT).

Lokasi untuk menempatkan kesemua pemain muda itu, bagaimanapun, masih dalam perbincangan sama ada di Casa MSN, Bukit Jalil atau Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang.

"Untuk jurulatih Brad agak berbeza sedikit kerana pemain-pemainnya boleh dikuarantin dan dipusatkan dalam satu jangka masa yang panjang bagi pasukan itu memiliki persiapan yang teratur untuk menghadapi Kejohanan (AFC) B-19," katanya kepada Nadi Arena.

Turut berada dalam perbincangan itu adalah ketua jurulatih skuad senior negara, Tan Cheng Hoe.

Selepas lapan bulan tidak dapat mengumpulkan pemainnya, Cheng Hoe berhasrat untuk merealisasikan kem latihan kuarantin itu sebelum saingan Liga Malaysia bersambung.

"Ada beberapa cadangan yang kami perlu lihat kerana selepas 15 Jun ini, kebanyakan pasukan sudah memulakan latihan.

"Jadi, agak sukar untuk mengumpulkan pemain tetapi harap-harap dalam masa terdekat ini, kami dapat memuktamadkan satu tarikh untuk latihan pasukan kebangsaan," katanya.