Benteng England, John Stones, menegaskan dia tidak akan bercakap mengenai bola sepak dengan Vincent Kompany tatkala kedua-dua pemain Manchester City itu bakal berentap dalam aksi di antara Belgium dan The Three Lions, awal pagi Jumaat ini.

Ketika Kompany cergas dan berada di tahap terbaik, dia mencipta gandingan mantap bersama Stones dalam membawa kejuaraan liga pada musim 2017/18 buat The Citizens.

Bek tengah England itu mengharapkan rakan sepasukannya itu dapat pulih daripada kecederaan yang menghantuinya sejak tiga tahun lalu untuk membolehkannya beraksi di Kaliningrad.

"Saya sayangkan Kompany, dia pemain yang bagus dan seorang individu yang baik. Sudah pasti saya gembira untuk bertemunya dan diharapkan Kompany akan cergas serta bersedia.

"Tentu bagus dapat berbual tetapi saya tidak akan bercakap tentang bola sepak dengannya.

"Ia akan menjadi perseteruan yang pelik kerana kami telah beraksi dalam satu pasukan yang sama, begitu juga dengan Kevin De Bruyne tetapi sebaik sahaja melangkah ke padang, kami harus menghormatinya.

"Setiap antara kami tentu mahu memenangi perlawanan, kemudian kami akan bersalaman dan begitulah kebiasaannya," ujarnya.

Pemenang perlawanan itu akan muncul juara Kumpulan G dan Stones menjangkakan England bakal berdepan cabaran getir daripada skuad kendalian Roberto Martinez itu.

Dalam masa sama, Stones juga menegaskan skuad bimbingan Gareth Southgate itu tidak sabar untuk menguji kekuatan mereka menentang salah satu pasukan terbaik dunia.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik. Belgium adalah pasukan yang dibarisi ramai pemain berkualiti dan apa yang menarik, saya akan berdepan beberapa muka yang sering ditemui.

"Sebagai seorang pemain, anda mahukan aksi sebegini kerana kemampuan anda akan teruji sepenuhnya di samping membolehkan anda mendapatkan sentuhan terbaik," katanya lagi.