Pertahanan Manchester City, John Stones, berkata impiannya akan menjadi kenyataan jika dia meraih kepercayaan sebagai kapten England satu hari nanti.

Pemain berusia 22 tahun itu menjalani permulaan musim di Stadium Etihad dengan baik di bawah kendalian Pep Guardiola.

Stones telah membuat 11 penampilan buat England dan dijangka akan membarisi jentera pertahanan The Three Lions menentang Slovenia dan Malta dalam aksi kelayakan Piala Dunia, minggu hadapan.

Bekas pemain Everton itu meletakkan sasaran untuk menjadi pemain kesebelasan utama pasukan menjelang Piala Dunia 2018, namun enggan menjadikan sasaran itu mengganggu perkembangannya bersama The Citizens.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini, saya hanya mahu menikmati masa beraksi bersama kelab dan memenangi penampilan buat negara saya," kata Stones.

"Ia merupakan impian saya untuk menjadi kapten skuad kebangsaan saya. Dipanggil untuk beraksi bersama England merupakan satu penghargaan buat seorang pemain dan saya sangat gembira dengan kerjaya saya bersama City dan England.

"Saya dapat berasakan peningkatan saya di Everton dan saya mahu terus bekerja keras bersama kelab baru saya.

"Saya mencuba dan meletakkan satu tahap yang lebih tinggi buat diri saya. Saya mahu mengekal gaya permainan saya pada setiap perlawanan dan mahu menjadi seorang pemain yang berkualiti."