Pengendali England, Gareth Southgate, membandingkan pertahanan Manchester City, John Stones, dengan bintang Barcelona dan Bayern Munich, Gerard Pique dan Jerome Boateng.

Pemain berusia 23 tahun itu menjadi kunci utama keampuhan benteng skuad kendalian Pep Guardiola selepas mempamerkan gandingan mantap bersama Nicolas Otamendi.

Southgate, yang pernah bekerjasama dengan Stones ketika berada dalam skuad bawah 21 tahun, gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh bekas pemain Everton itu.

Dia juga menamakan Boateng dan Pique sebagai contoh pertahanan hebat yang melalui permulaan sukar dalam karier masing-masing, sekaligus membandingkannya dengan Stones.

"Saya selalu bercakap dengannya bahawa orang ramai hanya akan meminta anda mengeluarkan bola.

"Bagi saya, ia tidak menjadi masalah tetapi jika mahu beraksi bersama pasukan saya, anda perlu melakukan sesuatu yang berbeza dan Stones ternyata berbeza.

"Stones memiliki ketenangan yang tinggi berbanding pemain lain di Eropah," kata Southgate.

"Saya menyaksikan Boateng ketika di City dan tiada siapa yang menjangkakan apa yang berlaku kepadanya pada hari ini.

"Sama juga dengan Pique, dia menyebabkan banyak gol ketika bersama Manchester United tetapi seorang pemain benteng yang kebal," tambahnya.