Peter Stoger tidak berasa senang dengan corak persembahan yang diperagakan Borussia Dortmund, khususnya pada separuh masa pertama, dalam kekalahan 2-1 kepada Bayern Munich dalam perlawanan DFB-Pokal, awal pagi tadi, kerana ia menyukarkan mereka untuk bangkit.

Dortmund mendapati mereka ketinggalan 2-0 kepada tuan rumah pada babak pertama hasil sentuhan Jerome Boateng dan Thomas Muller.

Malah, dalam tempoh 45 minit pertama itu, situasi mungkin menjadi lebih buruk lagi buat Dortmund, mujur percubaan Arturo Vidal terkena palang gol.

Dortmund memperkemaskan permainan sejurus selepas rehat, dengan Shinji Kagawa hampir menjaringkan gol sebelum Andriy Yarmolenko merapatkan jurang hasil lorongan pemain antarabangsa Jepun itu.

Begitupun, Dortmund terpaksa membayar dengan harga mahal ekoran daripada permulaan lembab itu.

"Kami hanya menemui rentak sebenar dalam tempoh 20 minit terakhir," kata Stoger kepada pemberita.

"Tidak mengapa jika saya marah sekarang -- saya lebih terluka tentang bagaimana kami bermain pada babak pertama. Mereka tidak aktif, tidak seperti biasa dan di luar jangkauan bayangan kami.

"Saya fikir ia akan menjadi menarik jika kami bermain dalam masa tambahan kerana secara fizikal, kami dalam keadaan yang baik.

"Tetapi, kami memerlukan tuah dari awal, jadi kami tidak perlu meratap peluang untuk mencetak gol pada minit ke-92," katanya.