Terengganu Turtles bagaikan sudah sebelah kaki ke peringkat separuh akhir dan agak sukar dihambat sesiapa, termasuk pencabar terdekat, Penang Panthers, yang menumpaskan Melaka Titans 21-11, 21-11 dalam perlawanan ke-10 mereka yang hanya berusia 38 minit.

Kekal menerajui carta mata Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan 20 mata, kejayaan skuad bimbingan Vitthaya Boontha dan Rosmadi Ghani itu turut menghampakan hajat Titans yang cuba mengulangi tentangan tiga set kepada lawan seperti pusingan pertama lalu.

Pemain tekong Terengganu Turtles, Zulkifli Razak, apit kanan, Kamal Alfiza Shafie, dan apit kiri, Azwan Muhrim, meraih dua mata liga sambil menambah derita dan kemarau mata Titans sejak awal bulan lalu, termasuk kepada Johor Tigris, semalam.

Kuala Lumpur Thunder hanya menambah pungutan mata liganya kepada 12 mata dengan kemenangan keenam, apabila menumpaskan Kelantan Warriors 21-10, 21-10, namun kekal di tangga ketiga di belakang Panthers, 14 mata.

Ahmad Aizat Nor Azmi, Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir cuma mengambil masa setengah jam di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor untuk menumpaskan Khairul Hisham Yusoff/Hisyam Mat, Wan Naim Izani Noor, Aidil Aiman Azwawi.

Sementara itu, Selangor mengukuhkan statusnya sebagai peneraju baru carta mata Divisyen Satu STL bagi minggu ketiga saingan ketika pencabar terdekat, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A, hanya akan beraksi lagi esok.

Noor Azman Hamid/Shafiq Sharif, Najib Rahman/Shafirul Nizam Zainal dan Muqlis Borhan mengambil masa 74 minit untuk menjinakkan lawan 21-19, 7-21, 21-11, sekaligus menghimpun 10 mata berbanding PSM A, lapan mata.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Putrajaya pula menambah kutipan mata liga kepada enam mata, namun keputusan itu tidak begitu banyak mengubah kedudukan divisyen dengan masing-masing menumpaskan Sarawak 21-17, 14-21, 21-13 dan Perlis 21-16, 21-8 selepas berentap selama 74 dan 39 minit.

Putrajaya yang diterajui Nasiruddin Manjur Ahmad/Salim Said, Muslim Mohammed dan Faizul Hairy Osman serta Normanizam Ahmad/Hasrul Anuar Suboh, Shaifullah Nor, Syukri Hasan dan Hafiz Najib (PDRM) kekal di bawah kelompok lima teratas.

Pahang pula masih bergelut untuk merapati kelompok elit yang meliputi Selangor, PSM A, Perak The Bos Gaurus, PSM B dan Negeri Sembilan The Jangs itu apabila bertungkus-lumus untuk menundukkan Labuan 19-21, 21-19, 21-15.


Keputusan STL hari ini:
Terengganu Turtles mengalahkan Melaka Titans 2-0 (21- 11, 21 - 11)
Kuala Lumpur Thunder mengalahkan Kelantan Warriors 2-0 (21-10, 21-10)


Jadual STL esok:

ATM Guardians menentang Terengganu Turtles (4pm)
Kuala Lumpur Thunder menentang Penang Black Panthers (5.30pm)