MANCHESTER CITY 6 SHAKHTAR DONETSK 0

Penyerang Manchester City, Raheem Sterling, memohon maaf kepada pengadil perlawanan, Viktor Kassai, dan Shakhtar Donetsk ekoran kontroversi insiden penalti ketika kemenangan 6-0 pasukannya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Pemain England itu terjatuh di dalam kawasan penalti akibat tersadung padang ketika melakukan percubaan.

Bagaimanapun, Kassai percaya insiden itu disebabkan terjahan Mykola Matvyenko dan memberikan sepakan penalti yang disudahkan Gabriel Jesus untuk gol kedua City pada minit ke-24.

Pengurus City, Pep Guardiola, jelas tidak bersetuju dengan keputusan itu dan Sterling sendiri mengakui bahawa pengadil melakukan keputusan yang salah.

"Saya cuba melambungkan bola dan saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu.

"Saya terjatuh ke tanah dan saya terus berpaling.

"Saya tidak rasakan sebarang sentuhan, ia salah saya, saya tersepak lantai.

"Saya memohon maaf kepada pengadil dan Shakhtar," kata Sterling kepada BT Sport.

Bercakap mengenai kemenangan besar City yang menampilkan jaringan hatrik daripada Jesus -- yang turut memberikan mereka kelebihan tiga mata ke atas Olympique Lyonnais selaku pendahulu Kumpulan F -- Sterling berkata: "Ia sesuatu yang besar. kami perlukan kemenangan itu untuk memberikan tekanan kepada pasukan-pasukan lain dan itulah yang sedang kami lakukan."

City kini mengalihkan tumpuan kepada pertembungan setempat dengan Manchester United -- yang masih segar dengan kejayaan menundukkan Juventus -- di Stadium Etihad, hujung minggu ini.

"Saya perlukan rehat untuk satu atau dua hari.

"Kami akan menghadapinya perlahan-lahan, melakukan proses pemulihan dan bersedia untuk perlawanan itu.

"Ia sudah tentu perlawanan yang besar hujung minggu ini, namun kami pasti akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan tiga mata," katanya lagi.