Raheem Sterling mengalami "perasaan yang indah" selepas menjaringkan gol pertamanya untuk England dalam tempoh tiga tahun, sekali gus membantu The Three Lions mengatasi Sepanyol 3-2 di Seville, awal pagi tadi.

Sterling dan Marcus Rashford bertindak selaku penjaring gol buat buat skuad kendalian Gareth Southgate itu untuk mengatasi Sepanyol dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA.

Bintang Manchester City itu membuka jaringan pada minit ke-16 untuk mencetak gol pertama bersama England sejak 9 Oktober 2015 sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-38, dan Sterling menyedari dia akhirnya lega dapat kembali melakukannya setelah sekian lama.

"Ia merupakan satu perasaan yang indah apabila menjaringkan gol. Saya meletakkan tekanan kepada diri saya apabila berusaha untuk berada di posisi meledak gol," kata Sterling.

"Ia amat bermakna buat diri saya. Tiga tahun adalah satu tempoh yang sangat panjang untuk tidak menjaringkan gol!

"Sangat mengecewakan apabila gagal menjaringkan gol buat England.

"Kami telah menunjukkan kebolehan kami berdepan Sepanyol dan berpuas hati dengan kemenangan ini."

Sepanyol yang ketinggalan 3-0 dalam separuh masa pertama, cuba mengejar perlawanan apabila menghasilkan dua gol menerusi Paco Alcacer dan Sergio Ramos tetapi usaha mereka untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak berhasil.