Bintang Manchester City, Raheem Sterling, mendedahkan dia sentiasa mempertimbangkan pilihannya di Liverpool sekiranya kelab itu bergelut untuk memenangi trofi.

Sterling, 21, berpindah ke City pada pertengahan 2015 dengan nilai GBP44 juta (RM226j) untuk meninggalkan Anfield -- di mana dia berkhidmat sejak 2010.

Pemain antarabangsa England itu masih ingat perbincangan dengan ejennya ketika remaja dengan mengatakan bahawa dia sedia berhijrah dari Liverpool jika pasukan itu menemui kegagalan.

"Saya masih ingat apa yang saya katakan kepada ejen saya; pada usia 22 tahun, jika saya belum memenangi apa gelaran pada masa itu dan andai saya tidak bermain dalam kejohanan besar, maka saya perlu mempertimbangkan pilihan yang ada," kata Sterling dalam rancangan The Premier League Show.

"Anda mahu memastikan anda dapat bermain di peringkat tertinggi dan terbaik.

"Saya sentiasa menyayangi Liverpool dan mereka adalah sebuah pasukan yang menakjubkan dan sebuah pasukan hebat yang membantu perkembangan saya.

"Saya tidak berdepan isu besar di sana, dengan peminat atau apa-apa jua sepertinya. Jadi, ia tidak berjalan seperti yang saya rancangkan."

Sterling, bagaimanapun, berkata detik paling sukar dalam kariernya tiba selepas itu -- iaitu sebelum sepak mula Euro 2016.

Persembahannya mendapat kritikan berikutan kegagalan mereka yang memalukan dalam pusingan 16 di tangan Iceland.

"Sebelum Euro 2016 bermula adalah tempoh paling sukar," kata Sterling.

"Malah, ketika aksi pemanas badan, anda boleh mendengar perkara-perkara negatif sebelum kejohanan berlangsung tatkala anda dalam persediaan untuk mewakili negara.

"Anda cuba melakukan yang terbaik tapi anda tidak mendapat sokongan seperti yang diharapkan pemain-pemain, apatah lagi ke atas pemain muda."