Raheem Sterling sudah cergas untuk diturunkan ketika bertemu Real Madrid, demikian disahkan pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Bintang England itu terlepas dua perlawanan terakhir City kerana kecederaan paha tetapi kembali tersenarai untuk menyertai skuad yang akan bertandang ke Santiago Bernabeu itu bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.

Guardiola memuji tahap pemulihan Sterling dengan berkata pemain itu mahu kembali beraksi lebih awal, namun akan diletakkan di bangku simpanan terlebih dahulu sebagai langkah pencegahan.

"Raheem sudah cergas," katanya kepada wartawan.

"Keadaannya, kondisinya, tahap pemulihannya amat luar biasa.

"Dia berkata kepada kami, 'Saya sudah boleh bermain ketika perlawanan menentang West Ham dan perlawanan menentang Leicester City'.

"Doktor menyarankan kami supaya berhati-hati tetapi ia petanda yang baik.

"Dia sudah cergas. Dia sudah bersedia," katanya.

Satu-satunya pemain yang tidak akan beraksi dalam kedua-dua perlawanan timbal balik itu ialah Eden Hazard.

Pemain sayap Real Madrid itu mengalami keretakan buku lali yang memaksanya untuk berehat selama dua bulan.

Pernah melihat prestasi Hazard ketika menentang pasukannya sewaktu mewakili Chelsea, Guardiola berasakan kehilangan itu merupakan satu kerugian.

"Amat malang kerana dia tidak berada di sini.

"Saya teringin untuk menikmati dan menyeksanya di England.

"Apabila melihatnya beraksi, anda akan berkata, 'dia pemain menakjubkan'.

"Saya yakin Madrid telah menandatangani seorang pemain yang luar buasa.

"Saya berharap dia dapat berada di sini dan saya mendoakan kesembuhannya kerana dia seorang pemain yang luar biasa," tambahnya.

Guardiola menjelaskan bahawa ia merupakan satu keseronokan untuk kembali ke Santiago Bernabeu dia mana dia pernah bersaing di situ sebagai pemain dan ketua jurulatih Barcelona, termasuk ketika mengemudi Bayern Munich.

"Ia salah satu tempat terhebat.

"Sebagai pemain, saya pernah menang dan tewas (di sini) dan sebagai jurulatih, saya pernah menang dan tewas.

"Untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara di sini merupakan satu pernghormatan.

"Saya perlu menikmatinya. Itu sahaja yang saya boleh lakukan," katanya lagi.