Penolong jurulatih Inter Milan, Cristian Stellini, mencabar Nicolo Barella untuk mengambil langkah seterusnya dalam keriernya selepas pemain itu menambah koleksi jaringannya ketika menewaskan Fiorentino 2-0 awal pagi tadi.

Pemain tengah Itali itu melencongkan bola untuk membuka jaringan di Stadio Artemio Franchi pada minit ke-31 sebelum Ivan Perisic menyumbat masuk gol kedua yang melonjakkan Inter ke puncak Serie A.

Barella, yang percubaan awalnya dinafikan aksi menyelamat gemilang Bartlomiej Dragowski, kini telah menghasilkan tiga gol dan lima bantuan sepanjang 21 perlawanan liga musim ini.

Ia menjadikan musim 2020-21 sebagai musim Serie A terbaik buat pemain tengah itu daripada segi penglibatannya dengan jaringan walaupun pernah menjaringkan enam gol buat Cagliari dalam musim 2017-18.

Stellini -- yang mengambil alih pasukan itu selepas ketua jurulatih, Antonio Conte, digantung perlawanan -- berharap Barella dapat membina sesuatu daripada kejayaan itu untuk lebih menyerlah sepanjang baki musim ini.

"Dia sedang berkembang sepeti Lautaro (Martinez) dan ramai pemain muda lain dalam skuad ini," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Langkah seterusnya adalah menjaringkan lebih banyak gol."

Dua gol lain musim ini dihasilkan Barella dari dalam kotak penalti dan pemain berusia 23 tahun itu hanya menyudahkan satu daripada empat peluang terbaiknya seperti yang direkodkan Opta.

Dia berkata: "Saya tidak dapat menjaringkan gol sebelum ini tetapi kini masanya sudah tiba. Hari ini, saya mungkin dapat menamatkan perlawanan dengan lebih baik tetapi telah meletakkan diri saya di posisi yang baik."