Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menegaskan status sebenar Stadium Sultan Ibrahim hanya akan dimuktamadkan selepas 19 Febuari ini.

Dalam laporan Nadi Arena semalam, kenyataan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seolah-olah menafikan penglibatan stadium itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tetapi Stuart tampil memberikan penjelasan.

Dia menegaskan stadium itu akan melewati pemeriksaan akhir pada 18 dan 19 Febuari ini sambil keputusan hanya akan diketahui selepas itu.

"Ternyata dalam jadual perlawanan, stadium itu akan digunakan bagi perlawanan pertama ACL di laman sendiri. Namun, ia memerlukan penyeliaan daripada AFC ada 18 dan 19 Februari ini," katanya.

Jika pemeriksaan akhir tidak berdepan sebarang masalah, ia juga tidak akan mengganggu aksi pembukaan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta'zim dan Kedah, 28 Februari ini.

"Saya rasa stadium baharu ini mengikut ketetapan yang diperlukan oleh AFC termasuk lampu, persediaan rumput dan sebagainya. Saya rasa tiada sebarang isu, namun kami akan berhubung dengan AFC," tambah Stuart.


Editor: Nafis Abdullah