Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, menjangkakan keputusan berhubung status perlawanan di antara Korea Utara dan Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2017 mampu dicapai sebelum 20 Oktober ini.

Penangguhan kali ketiga terhadap perlawanan itu dilabel Windsor sebagai situasi yang luar biasa.

Namun, itu bukan alasan untuk AFC menafikan hak ahli gabungannya menganjurkan perlawanan di tempat sendiri selain turut mengambil kira faktor keselamatan yang menjadi keutamaan skuad negara ketika ini.

"Jadi, jalan penyelesaian kepada situasi ini adalah mengikut peraturan dan prosedur yang sedia ada dalam AFC kerana ia melibatkan ahli gabungan AFC untuk menganjurkan perlawanan di tempat sendiri.

"Pada masa sama, kita juga harus faham di sebelah lain, penangguhan dibuat adalah di atas faktor keselamatan," katanya.

Jaminan keputusan berhubung status perlawanan ini dijangka akan diketahui sebelum 20 Oktober.

Menurut Windsor, masih tiada sebarang perbincangan rasmi dilakukan sebaik tamat aksi Malaysia bertemu Hong Kong, semalam.

"Tiada sebarang mesyuarat yang diadakan pada 10 Oktober berhubung perlawanan ini.

"Berhubung dengan status perlawanan, AFC masih lagi berbincang dengan pihak Korea Utara kerana perlawanan itu adalah hak mereka sebagai tuan rumah."