Stadium Lusail yang bakal menjadi mercu kemegahan Qatar bagi saingan Piala Dunia 2022 mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri berbanding kebanyakan stadium lain di dunia apabila dijangka siap dua tahun lagi.

Stadium ini dibina di Lusail yang merupakan bandaraya baru di Qatar dan terletak hanya kira-kira 15 kilometer dari Doha.

Bukan sekadar menjadi sebuah stadium biasa, Lusail akan menjadi peneraju kepada pembentukan sebuah stadium moden, namun masih mengekalkan ciri budaya Qatar sebagai asas utama.

"Ia merupakan stadium yang besar dengan memiliki bahan kualiti yang tinggi. Terdapat cabaran yang perlu ditangani bagi membangunkan stadium ini," kata Pengarah Projek Stadium Lusail, Tamim Al-Abed.

Satu lagi ciri menarik mengenai stadium berkenaan ialah penonton yang hadir tidak perlu bimbang suhu panas apabila pihak penganjur menjanjikan sistem penyejukan yang terbaik, begitu juga dengan pemain yang beraksi di atas padang.

"Kami berusaha untuk menjadikan suasana yang selesa buat penonton yang hadir menyaksikan saingan Piala Dunia di dalam stadium ini. Stadium yang bakal mengisi 80,000 penonton ini akan dilengkapkan dengan sistem udara yang terbaik."