Stadium Al Rayyan yang menjadi salah satu gelanggang rasmi Piala Dunia 2022 Qatar tetap memiliki daya tarikan tersendiri walaupun menjadi salah satu venue terkecil daripada lapan stadium yang akan digunakan sepanjang kejohanan itu nanti.

Terletak 15 minit dari ibu negara Qatar, Doha, Stadium Al Rayyan diberi sentuhan baru selepas stadium asalnya dirobohkan khusus untuk menghadapi Piala Dunia empat tahun lagi.

Pengarah Projek Al Rayyan, Abdullah Al Fehani, menjelaskan ciri pembinaan stadium itu berteraskan tujuh corak berbeza yang menceritakan pembinaan negara Qatar suatu ketika dahulu.

"Ia salah satu bangunan sebenar yang menggunakan konsep seperti sampul yang berisi. Kami juga memiliki bahagian untuk membolehkan pemerhati menyaksikan perlawanan dari luar serta dalam stadium.

"Seperti yang saya katakan, idea itu hadir daripada wakil tempatan," katanya.

Sementara itu, Abdullah menjelaskan stadium itu dapat disiapkan lebih awal, iaitu tahun depan, dan bakal diuji sepenuhnya untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan sebelum secara rasmi menjadi salah satu venue Piala Dunia 2022.

"Kami sedang menyiapkan kemudahan di sekeliling stadium. Kami boleh katakan ia sudah hampir selesai."