SSMP 3 KEDAH 2

Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Kedah dalam aksi pertama final Piala Belia yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.


SSMP mempamerkan aksi penuh memukau menerusi gerakan-gerakan pantas dan mengelirukan pertahanan Kedah sebaik perlawanan bermula.

Pertahanan Kedah tersentak dengan gerakan awal SSMP, menyaksikan benteng mereka bocor seawal minit kelima menerusi Noramirul Awang sebelum mereka mempamerkan aksi yang cemerlang meratah benteng pertahanan Kedah.

Dua gol berjaya diperoleh dalam tempoh lima minit menerusi Nizarruddin Jazi pada minit ke-20, diikuti percubaan daripada Arif Shaqirin Suhaimi.

Kedah mempamerkan kebangkitan apabila berjaya menjaringkan gol pertama mereka dalam perlawanan ini pada minit ke-27 hasil jaringan Khairuddin Salleh.

Bersambung babak kedua, Kedah terus menggandakan asakan sehinggalah minit ke-79 apabila pemain gantian, Akmal Azmi, menjaringkan gol kedua Kedah.

Percubaan anak buah Mohamad Ramlee untuk mengikat kedudukan 3-3 tidak kesampaian dengan menyaksikan SSMP berjaya mengekalkan kedudukan sehingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan beraksi dalam perlawanan timbal balik di Alor Setar, Isnin depan.