Spurs berhempas-pulas untuk lolos 

Oleh Staff Writer 15 Januari 2020 699
 Spurs berhempas-pulas untuk lolos 
TOTTENHAM 2 MIDDLESBROUGH 1

Jose Mourinho memuji sikap yang ditonjolkan Japhet Tanganga susulan persembahan pemain muda itu dalam kemenangan 2-1 Tottenham ke atas Middlesbrough dalam pertembungan timbal balik Piala FA awal pagi tadi. 


Gol pemain dari Argentina, Giovani Lo Celso dan Erik Lamela dalam babak pertama membolehkan Spurs untuk mengatur pertemuan separuh akhir dengan Southampton di sebalik deretan peluang yang dilepaskan selain gol lewat pemain gantian Boro, George Saville, untuk memastikan kemenangan tipis.

Tanganga, yang membuat kemunculan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengisi barisan tiga pertahanan dalam kekalahan 0-1 kepada Liverpool, Ahad lalu, mempamerkan persembahan dinamik di sebelah pertahanan kanan dan kali ini hampir mencetak gol.

"Saya menaruh kepercayaan kepadanya. Saya tahu dia boleh membaca permainan dan belajar," kata Mourinho seperti yang dipetik daripada BBC Sport. 

"Dia menyerap semua maklumat. Dia bukan sejenis pemain moden yang bimbang untuk berdepan laluannya (untuk berjaya), caranya ialah menerusi bekerja keras dan mengambil kesempatan yang ada, itulah yang dilakukannya.

"Sekarang orang sudah tahu betapa bagusnya dia."

Tottenham gagal mengelak daripada terus dibolosi -- hanya sekali mereka pernah melakar kemenangan bersih sepanjang 14 perlawanan yang dikemudi Mourinho -- justeru pengurus itu berasakan kegagalan untuk membunuh permainan telah menjerumuskan mereka dalam kesukaran. 

"Banyak kali kami hampir menjadikan kedudukan 3-0," katanya. "Dalam rehat separuh masa, saya berpesan kepada pemain, jika kami tidak menjaringkan gol ketiga maka ia akan menjadi 1-2 dan kami akan menghadapi masalah.

"Kami sedar berdepan lawan yang sukar. Mereka membawa masuk (Rudy) Gestede dan bermain secara langsung yang mencetuskan masalah buat kami dan apabila kedudukan menjadi 1-2, kami tahu ia akan menjadi sukar.

"Kami cuba yang terbaik, anak buah saya berusaha yang terbaik. Mereka menanganinya dengan baik dalam banyak situasi.

"Kami melakukan banyak perkara dengan baik, kami melepaskan gol dan ia agak mengecewakan tetapi apa yang lebih dikesalkan adalah kami tidak menyumbat jaringan ketiga, keempat atau kelima."

Selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan, Spurs akan bertandang ke Watford sempena aksi EPL hujung minggu ini.




Editor: Shaiful Shamsudin 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen