Sporting tidak pasti masa depan Fernandes

Oleh Staff Writer 28 Januari 2020 1206
Sporting tidak pasti masa depan Fernandes
Pengurus Sporting CP, Silas, tidak pasti sama ada pemain yang menjadi sasaran Manchester United, Bruno Fernandes, akan turun beraksi buat kali terakhir bersama pasukan Portugis itu Isnin depan atau sebaliknya.

Sejak dikaitkan dengan United dalam jendela perpindahan lalu, Fernandes masih kekal di Lisbon walaupun spekulasi itu tetap belum tamat dan dia diberikan mandat untuk mengetuai Sporting ketika menewaskan Maritimo 1-0 awal pagi tadi.

Dengan United dan Sporting dikatakan masih berbincang untuk mencari kesepakatan sebelum jendela perpindahan ditutup, Silas sekali lagi ditanya mengenai masa depan pemain bintangnya itu.

"Saya tidak dapat mengesahkannya, saya mahu dia kekal di sini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan

"Bruno Fernandes pemain yang berbeza, dia boleh nampak perkara yang pemain lain tidak nampak.

"Dengan dapat melihat pergerakan yang akan dilakukan, pertahanan kami dapat mengawal keadaan.

"Setiap pasukan yang memiliki Bruno Fernandes di Portugal akan menderita jika kehilangannya.

"Jika ia berlaku, kami perlu mencari penyelesaiannya," katanya.

Fernandes, yang turut dikaitkan dengan Tottenham Hotspur dan Real Madrid, telah menjaringkan 15 gol dalam kesemua kejohanan musim ini.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu menjaringkan 31 gol, termasuk 20 dalam Liga Primeira, sepanjang musim lalu.




Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen