Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, mengakui terganggu dengan spekulasi Jose Mourinho akan menggantikan tempatnya di Santiago Bernabeu, namun dia amat yakin pasukannya dapat menangani situasi itu.

Pasukan gergasi Sepanyol itu hanya memenangi empat daripada 10 perlawanan dalam kesemua kejohanan dengan kekalahan 0-1 kepada Mallorca awal pagi kelmarin menambahkan tekanan buat Zidane.

Madrid juga terperosok di tangga tercorot Kumpulan A dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 0-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dan seri 2-2 dengan Club Brugge dalam dua perlawanan pertama.

Spekulasi kepulangan Mourinho ke Santiago Bernabeu semakin bertiup kencang sejak akhir-akhir ini dan menjadi topik hangat dalam persidangan Madrid awal pagi tadi, 24 jam sebelum pertembungan getir dengan Galatasaray dalam Liga Juara-Juara di Istanbul.

Ketika diberitahu bahawa pertahanannya, Sergio Ramos, mempertahankannya dalam perdebatan mengenai Mourinho, Zidane berkata kepada wartawan: "Dalam bola sepak, mereka tidak akan ingat apa yang anda telah lakukan pada masa lalu.

"Apa yang penting adalah masa kini. Saya tidak akan kata spekulasi mengenai jurulatih lain itu tidak mengganggu saya kerana ia benar-benar mengganggu.

"Tetapi apa yang perlu saya lakukan sebagai jurulatih adalah memberikan segala-galanya, memastikan pemain melakukan perkara sama, memberikan segala-galanya -- dan hanya itulah yang saya boleh lakukan.

"Ia perlawanan yang baik untuk kami lalui, stadium yang hebat, Liga Juara-Juara. Kami sedar situasinya dan akan mencuba untuk menang," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan sama ada dia akan kehilangan tempatnya jika Madrid tewas sekali lagi, Zidane berkata: "Saya tidak tahu. Apa yang saya boleh buat ialah mencuba untuk berada di sini selama yang boleh. Saya mahu berada di sini selama-lamanya."

Zidane menambah tekanan yang dihadapinya itu merupakan sebahagian daripada tugasannya di Madrid dan pasukannya sudah bersedia untuk memberikan respons.

"Kami menyedari situasi ini.

"Kami bermula buruk dalam Liga Juara-Juara tetapi kami masih ada peluang untuk membuktikan keupayaan kami esok dan itulah yang akan kami lakukan.

"Saya sudah berada di sini selama 18 tahun, sebagai pemain dan jurulatih.

"Saya tahu bagaimana keadaan ini. Tekanan akan sentiasa bersama anda, jadi kami perlu keluar dan bersedia untuk perlawanan ini," tambahnya.

Ramos pula menambah setiap pemain Madrid ketika ini hanya memikirkan mengenai kemenangan di Istanbul.

"Kami tidak mahu melihat tanggapan pihak luar.

"Kami agak tenang. Dalam bilik persalinan, kami sedar kami perlu berusaha.

"Kami hanya perlu menumpukan kepada permainan dan perancangan kami," katanya.