Luciano Spalletti akan merombak skuadnya apabila Inter Milan menyasarkan kemenangan keenam berturut-turut menjelang pertemuan dengan SPAL.

Inter menduduki tangga keempat Serie A setelah memenangi tiga perlawanan terakhir mereka sambil berbekalkan kemenangan ke atas Tottenham dan PSV dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) untuk melengkapkan deretan lima kemenangan.

Spalletti telah merombak pasukannya tatkala jadual perlawanan semakin padat, justeru dia mengesahkan akan melakukannya sekali lagi ketika berdepan SPAL.

Bagaimanapun, bekas pengurus Roma tersebut menegaskan tindakan itu tidak akan melemahkan peluang pasukannya sambil berkata Inter tidak boleh mudah berpuas hati hanya bersandarkan prestasi mengagumkan.

"Penggiliran pemain? Saya mempunyai set pemain berbeza untuk sesuatu permainan, namun Inter sentiasa mempamerkan aksi mantap di atas padang," kata Spalletti dalam sidang akhbar.

"Setiap perlawanan adalah ujian dan setiap situasi yang kami hadapi akan menjadi peluang untuk membuktikan bahawa kami layak untuk mewakili Inter.

"Kami perlu mengekalkan kualiti yang kami persembahkan dalam kemenangan sebelum ini. Saya yakin pasukan ini akan bersedia, terutama dalam soal mental.

"Kami masih belum mempamerkan aksi terbaik dan kami tidak boleh berasa selesa atas kemenangan ini meskipun mereka bersaing dalam UCL."

Satu-satunya pemain yang jarang diturunkan ialah Borja Valero yang hanya membuat empat penampilan dalam semua pertandingan tetapi hanya sekali bermula dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Spalletti yakin bekas pemain tengah Fiorentina berkenaan masih boleh memberi impak sebagai pemain gantian.

"Pemain seperti Valero boleh dimasukkan dan membuat perbezaan dalam sekelip mata," kata Spalletti.

"Kami mempunyai ramai pemain sepertinya dan mereka berkemampuan untuk menghadapi perlawanan getir."

Spalletti turut mengesahkan Inter akan beraksi tanpa Marcelo Brozovic -- akibat kecederaan otot -- untuk aksi di tempat lawan, awal pagi esok.