INTER MILAN 1 UDINESE 3

Luciano Spalletti memohon maaf di atas kekalahan pertamanya sebagai jurulatih Inter Milan dan menggesa skuadnya agar memulakan semula pemburuan gelaran Serie A.


Inter memimpin jadual liga menuju ke hujung minggu tetapi kekalahan 3-1 kepada Udinese di Stadium San Siro memberikan peluang kepada Napoli dan juara bertahan yang berada di tangga ketiga, Juventus, untuk mengambil alih tangga teratas.

Spalletti mengakui kekalahan itu menimbulkan perasaan pelik bagi pemainnya yang belum pernah dikalahkan tetapi menambah bahawa penting untuk mereka kembali kepada prinsip asas dalam pemburuan gelaran.

"Saya minta maaf di atas kekalahan ini -- seperti mereka semua," katanya kepada Mediaset Premium. "Ia sudah lama (tidak tewas) dan kami terlupa bagaimana perasaannya.

"Pada babak kedua, kami tidak dapat mengawal bola dan kami membuat kesilapan, juga tidak membuat pilihan yang berani. Ia tidak begitu baik. Ini sesuatu yang baru, terutama apa yang berlaku kepada kami pada awal separuh masa pertama.

"Sekarang kami perlu kembali melakukan perkara yang membawa kami ke tahap ini," ujarnya.

Menilai persaingan gelaran, Spalletti mengakui bahawa ia adalah satu tamparan hebat kerana beberapa skuad mengekalkan aksi baik di bahagian atas.

"Bagi pasukan di bahagian atas, mereka terus memecut dan jelas bahawa siapa yang berhenti sesaat akan dipintas," katanya. "Kami jelas tidak mahukan perkara ini.

"Dengan kesilapan kecil ini, pasukan lain mendapat kelebihan."