Luciano Spalletti menegaskan Inter tidak akan terbawa-bawa dengan prospek untuk menerajui saingan Serie A ketika menghadapi aksi di laman sendiri berdepan Chievo.

Selepas pendahulu liga, Napoli, tewas 1-0 di laman sendiri kepada Juventus, The Nerazzurri menyedari kemenangan di San Siro akan membenarkan mereka untuk memintas kedua-dua pasukan dan menghuni tangga teratas liga.

Bagaimanapun, Spalletti menegaskan perbincangan mengenai Inter sebagai pencabar takhta adalah tidak wajar, sebaliknya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik dan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), musim depan.

Bekas pengurus Roma itu percaya penyandang juara, Juve, akan mempertahankan kejuaraan di sebalik pengurusnya, Massimiliano Allegri, mengisytiharkan Napoli sebagai pilihan untuk menjulang Scudetto selepas perlawanan di Stadio San Paolo.

"Peluang adalah sama seperti biasa, setiap perlawanan menawarkan tiga mata, tiga mata yang penting," kata Spalleti

"Ketika pasukan lain meraih kemenangan, anda perlu melakukannya untuk mengikut rentak mereka. Ketika pasukan lain tewas, ia merupakan peluang kami untuk meraih tiga mata.

"Pada pendapat saya, Juventus tetap sebagai pasukan pilihan. Mereka memiliki skuad yang terbaik. Mereka adalah pasukan terkuat setakat ini," katanya.