LAZIO 0 INTER 3

Luciano Spalletti menuntut Inter Milan agar tidak mendabik dada selepas melakar kemenangan Serie A keenam berturut-turut untuk menjulang Nerazzurri ke tangga kedua.


Mauro Icardi meledak dua jaringan dalam kemenangan 3-0 ke atas Lazio, awal pagi tadi, dengan Marcelo Brozovic turut mencetak nama selaku penjaring dalam aksi di padang becak Stadio Olimpico.

Inter kini dipisahkan enam mata dengan pendahulu, Juventus, yang memburu rentetan gelaran liga kelapan.

Spalletti, yang menyatakan matlamat Inter musim ini adalah untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL), tidak rela anak buahnya terbawa-bawa dengan prestasi cemerlang ketika ini.

"Persembahan seperti ini adalah perkara asas," kata Spalletti kepada Sky Sport Italia.

"Kami berpeluang untuk mengawal permainan seperti mana yang kami lakukan dalam babak pertama tetapi dalam babak kedua, kami kerap kehilangan bola.

"Situasi itu memberi ruang buat Lazio untuk mencetuskan masalah dan dalam situasi seperti itu, saya lihat tidak banyak yang boleh kami lakukan.

"Inilah sebabnya saya mengatakan bahawa kami bukannya anti-Juve. Ini kerana jika kami membuat kesilapan seperti itu, kami anti kepada sesiapapun jua. Kami menampilkan aksi yang baik dalam separuh masa kedua, itu sahaja. Jadi, usahlah lupa diri.

"Bagi sesiapa yang berasakan ingin mengabaikan soal itu, lebih baik angkat kaki. Kami telah menjalankan tugas dengan lebih baik.

"Presiden (Steven Zhang) sudah menyatakan dengan jelas. Inter bercita-cita tinggi, mempunyai sikap seperti ini dan keinginan untuk mendominasi aksi di Stadio Olimpico ketika menentang sebuah pasukan mantap seperti Lazio.

"Keputusan seperti ini tidak semestinya sentiasa berlaku, namun pendekatan seperti ini diperlukan Inter."

Spalletti memilih untuk merehatkan Stefan de Vrij di bangku simpanan, dengan pertahanan tengah berkenaan menghadiahkan penalti kepada Inter dalam perlawanan terakhir musim lalu, sekali gus membuka jalan buat Nerazzurri mengatasi Lazio dalam perebutan tempat UCL.

"Saya tidak fikir adalah adil untuk menurunkan De Vrij yang berdepan kemungkinan ejekan hebat, itulah yang akan berlaku," kata Spalletti.

"Dia seorang pemain yang sangat sensitif dan jika dia membuat beberapa kesilapan, dia boleh jadi hilang arah."

Ketua pasukan, Icardi, yang menyumbat enam gol dalam empat penampilan Serie A, bersetuju dengan pendapat pengurusnya itu bahawa Inter tidak sepatutnya dianggap pesaing utama Scudetto.

"Kami bukannya anti-Juventus kerana kami ketinggalan selama beberapa tahun kepada mereka," kata penyerang Argentina itu kepada Sky Sport Italia.

"Namun, kami gembira dengan apa yang telah kami lakukan, kami berada di landasan yang betul dan mahu meneruskannya.

"Pasukan ini bertambah baik, kami berusaha memperbaiki dan memperagakan corak permainan yang dihajati, kami melakukannya dengan baik hari ini.

"Kami menemui ruang yang baik dan bergerak untuk menjaringkan gol, ia mencerminkan kerja keras yang kami lakukan dalam sesi latihan setiap hari."