Pengurus Inter Milan, Luciano Spalletti, mencabar pemain-pemainnya agar mempamerkan aksi terbaik apabila turun menentang seteru utama, AC Milan, awal pagi esok.

Inter menikmati permulaan musim 2017/18 yang hebat selepas memenangi enam perlawanan dan seri sekali dalam kesemua aksi Serie A.

Milan pula kini tujuh mata di belakang skuad Nerrazzurri selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir, sekaligus memberikan tekanan buat pengendali, Vincenzo Montella.

Spalletti begitu teruja untuk menghadapi aksi setempat pertamanya sambil memberikan amaran kepada anak buahnya bahawa tiada sebarang ruang untuk mereka melakukan sebarang kesilapan.

“Pemain-pemain tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan kami perlu beraksi melebihi kemampuan yang kami miliki,” katanya.

“Kami harus memastikan seluruh pasukan benar-benar bersedia.

“Ia merupakan satu kebanggaan buat saya kerana telah mengharungi perlawanan setempat Rome, sebelum ini,” katanya.

Inter kini memegang rekod pertahanan terbaik dalam liga selepas hanya dibolosi tiga kali dan bekas pengendali AS Roma itu menegaskan perkara itu bukan disebabkan nasib baik semata-mata.

“Memiliki benteng yang kental adalah sesuatu yang penting. Tidak adil untuk mengatakan kami meraihnya melalui nasib.

“Orang ramai hanya mengingati detik-detik kami diselamatkan oleh tiang gol tetapi tiada siapa yang memperkatakan tentang serangan kami yang dinafikan,” tambahnya.