"Radja Nainggolan terpaksa direhatkan buat sementara waktu ekoran kecederaan ketika bertemu AC Milan," kata pengendali Inter Milan, Luciano Spalletti.

Nainggolan cedera ketika setengah jam pertama perlawanan Serie A yang menyaksikan Inter menewaskan AC Milan 1-0, awal pagi tadi.

Bekas Bintang AS Roma itu diterjah dengan keras oleh pemain tengah Milan, Lucas Biglia.

Nainggolan cuba meneruskan permainan sebelum dia digantikan dengan Borja Valero tidak lama selepas itu.

Spalletti mengesahkan pemainnya itu mungkin terpaksa berehat panjang dan terlepas aksi menentang Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis ini.

"Nainggolan cedera teruk.

"Kami terpaksa membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.

"Dia tidak akan bermain dalam masa terdekat," kata Spalletti kepada Sky Sports Italia.

Kedua-dua pasukan berdepan situasi jaringan dibatalkan ekoran ofsaid, namun Spalletti tidak menolak pasukannya lebih layak memenangi perlawanan itu.

"Ia sangat jelas, Inter lebih layak menang. Kami menyerang sejak awal permainan.

"Kami layak untuk dipuji. Bukan kerana kami mahukannya tetapi kerana kami pasukan yang lebih baik.

"Pasukan yang bermain lebih baik berhak memperoleh kemenangan.

"Saya berada di sini untuk menang, bukan untuk menerima gaji buta.

"Saya bekerja untuk memastikan masa depan yang cerah buat Inter. Permain juga perlu melakukan perkara yang sama.

"(Mauro) Icardi berkata selepas tamat perlawanan bahawa kami perlu lebih konsisten dan teruskan corak menyerang. Saya sukakan semangat itu.

"Inter memilih untuk kembali menjadi pasukan yang mampu membanggakan peminat.

"Itulah tugas kami. Kami perlu melakukannya dengan rasa tanggungjawab dan membuktikan bahawa kami layak untuk dipilih mereka," tambahnya.