Pengurus England, Gareth Southgate, percaya mereka tidak boleh dihampakan oleh Tunisia dan Panama selepas meraih keputusan undian Piala Dunia 2018 yang menguntungkan.

Skuad kendalian Southgate itu bakal menentang Tunisia -- sebuah pasukan yang mereka tundukkan di peringkat yang sama dalam edisi 1998 -- dan Panama yang akan membuat penampilan pertama dalam pusingan akhir selepas undian di Moscow, malam tadi.

The Three Lions juga akan berentap dengan Belgium yang dianggap pertemuan paling menarik Kumpulan C, yang menyaksikan anak buah Roberto Martinez dibarisi generasi emas menerusi kehadiran pemain seperti Romelu Lukaku dan Eden Hazard di Kaliningrad.

Pertembungan itu dilihat akan menentukan pemenang kumpulan itu, namun England yang gagal melepasi peringkat kumpulan di Brazil tiga tahun lalu, tidak boleh bersikap sambil lewat ketika menghadapi mana-mana pasukan.

Bercakap kepada BBC Sport, dia berkata: "Bukankah kami selalu memandang rendah kemampuan pasukan lawan lalu dikalahkan? Kami perlu bersedia untuk setiap perlawanan."

Southgate, sebahagian anggota skuad England yang menumpaskan Tunisia 2-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 1998, menambah: "Perlawanan dengan Tunisia pada 1998 adalah perkara pertama yang terlintas di fikiran saya. Seronok untuk mengenang perlawanan menarik itu.

"Kami belum membuat banyak persediaan untuk berdepan sebuah pasukan Afrika dan sekarang kami perlu memberi tumpuan terhadapnya."

Belgium berada 10 tangga di depan England dalam ranking dunia, begitupun kedua-dua pasukan tidak pernah tewas dalam kempen kelayakan dan secara tidak langsung menjadi perlawanan tumpuan.

"Mereka sebuah pasukan yang cemerlang," kata Southgate mengenai pasukan asuhan Martinez itu.

"Mereka berada di ranking lima dunia kerana kualiti yang mereka ada.

"Melalui kempen kelayakan, anda tidak memikirkan hari-hari seperti ini apabila segala-galanya menjadi bahan bualan tetapi itulah keindahan Piala Dunia.

"Apabila anda melihat rakaman dan jaringan yang pernah dilakar, ia membawa anda kembali kepada kemurnian dalam bola sepak. Sekarang, seluruh negara mula berasakan bahangnya dan mereka akan teruja.

"Itulah sebabnya ia sangat hebat untuk layak. Secara peribadi, saya berasakan ia akan menjadi satu perjalanan yang luar biasa.

"Bermain untuk negara dalam Piala Dunia adalah penghormatan yang luar biasa, untuk memimpin negara saya di sana adalah perasaan lebih daripada itu," katanya lagi.