Southgate tidak bimbang nasib England dalam Liga Negara-Negara

Oleh Staff Writer 17 November 2018 350
Southgate tidak bimbang nasib England dalam Liga Negara-Negara
Pengurus England, Gareth Southgate, tidak mahu barisan pemainnya bimbang tentang nasib mereka dalam Liga Negara-Negara Eropah menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan berdepan Croatia, awal pagi nanti. 

Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam aksi di Rijeka sebelum ini, namun kejayaan Croatia menumbangkan Sepanyol, Khamis lalu, meletakkan perlawanan terakhir itu sebagai penentu kedudukan teratas Kumpulan 4, Liga A.

Kemenangan buat England atau Croatia akan memastikan slot mereka ke pusingan akhir kejohanan manakala kekalahan akan mengakibatkan mereka tersingkir ke Liga B berdasarkan perbezaan jaringan.

The Three Lions sebelum ini kecewa dengan kekalahan dalam masa tambahan kepada Croatia sewaktu separuh akhir Piala Dunia lalu dan Southgate tidak akan membiarkan mimpi ngeri itu berulang di Wembley.

"Benar, ia adalah perlawanan hidup dan mati. Kami hanya perlu melaluinya," katanya kepada wartawan.

"Tiada guna memperdebatkan cara kami untuk layak ke pusingan seterusnya dalam keadaan seperti ini.

"Kami mengharungi kumpulan yang sukar dan hanya perlu fokus untuk memenangi perlawanan terakhir itu."

Southgate berpuas hati dengan pencapaian yang diraih pasukan mudanya dan percaya tahap permainan mereka banyak meningkat selepas Piala Dunia lalu.

"Kami mahu mencapai tahap konsisten dan meneruskan perkembangan untuk bermain secara berpasukan dalam kejohanan itu.

"Ia sememangnya ujian yang baik buat kami.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila kami terpaksa melalui pelbagai perlawanan yang sukar selepas berakhirnya satu kejohanan utama.

"Ia amat baik untuk kami dalam mempelajari sesuatu dan memperbaiki segala kekurangan demi meningkatkan keyakinan dalam pasukan.

"Kami gembira dengan perkembangan ini dan mahu menamatkan saingan dengan baik," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen