Pengendali sementara, Gareth Southgate, memberikan penghargaan kepada penjaga gol, Joe Hart, selepas membantu pasukan membawa pulang satu mata buat England ketika seri tanpa jaringan dengan Slovenia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Penjaga gol Torino itu berjaya mematahkan beberapa percubaan Slovenia dan ini mendorong Southgate memberikan pujian kepada penjaga gol itu.

"Hart telah mempamerkan aksi yang mantap minggu ini," kata Southgate.

"Dia berada di tahap terbaik dan tenang di atas padang -- sesuatu perkara yang dia sedari dan kami telah berbincang mengenainya.

"Hart telah berjaya memastikan gawang gol England tidak dibolosi, sekali gus membantu pasukan meraih satu mata."

Walaupun gagal mempamerkan aksi yang mantap, Southgate percaya satu mata ini sudah memadai buat England.

"Objektif utama adalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia," katanya.

"Dalam tempoh jangka panjang, satu mata kami peroleh ini akan menjadi penting."