Gareth Southgate menegaskan hasrat Persatuan Bolasepak (FA) England untuk membangunkan pemain muda mendorongnya untuk menandatangani perjanjian baru selama empat tahun sebagai pengurus England.

Southgate telah mencetuskan impak yang kuat sejak mengambil alih jawatan berkenaan daripada Sam Allardyce yang dipecat pada 2016 apabila membuktikan menerusi persembahan England dalam temasya Russia 2018 -- skuad The Three Lions mencapai peringkat separuh akhir Piala Dunia yang pertama sejak 1990.

Satu elemen kepimpinan Southgate adalah kepercayaan terhadap pemain muda berbanding tonggak lebih berpengalaman yang sukar untuk memberikan sumbangan besar dalam tempoh jangka panjang.

Semalam, langkah itu diperincikan lagi dengan pengumuman terbaru Southgate apabila menyenaraikan Mason Mount, Jadon Sancho, James Maddison dan Nathaniel Chalobah sempena perlawanan menentang Sepanyol dan Croatia nanti.

"Saya sangat gembira kerana kami dapat memiliki kestabilan itu dan adalah penting untuk kami melibatkan pemain kurang berpengalaman," kata Southgate kepada wartawan.

"Kami tidak berdiri dengan sendiri, kami berusaha untuk bekerja dengan cara yang sama dan manfaat daripadanya cukup jelas. Kami menyedari bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki bagi kami menyertai barisan terbaik dunia.

"Setiap hari, saya akan memandu melalui pintu St George's Park dan berasa seperti telah membuat perubahan dalam bola sepak Inggeris.

"Ini satu penghormatan untuk mengetuai negara, oleh itu untuk dapat melakukannya selama empat tahun lagi sangat menarik untuk diri saya sendiri.

"Kami hanya berjaya kerana kami mempunyai pasukan sokongan yang hebat dan pemain yang menarik, yang saya percaya selama empat tahun akan datang akan bertambah baik dan saya harap pemain terus menggembirakan orang ramai.

"Dari sudut pandangan saya, saya bermula dalam barisan kejurulatihan England dengan mengemudi skuad B-21 dan skuad remaja sekitar lima tahun yang lalu. Sepanjang tempoh itu, terdapat kemajuan yang ketara.

"Kami dapat mengetengahkan elemen itu dalam pasukan senior dan semua orang tahu apa yang kami cuba dan bagaimana kami melakukannya. Ahli lembaga FA memberi saya kebebasan untuk memperkenalkan pemain muda," tambahnya.