Southgate mula pamer pendekatannya -- Kane

Oleh Penulis Jemputan 28 November 2017 497
Southgate mula pamer pendekatannya -- Kane
Harry Kane berasakan pengendali England, Gareth Southgate, sudah mula membiasakan diri dengan pendekatannya menjelang saingan Piala Dunia Russia 2018.

Southgate mengambil alih tugas Sam Allardyce, pengganti Roy Hodgson yang terlibat dengan skandal perpindahan pemain selepas bersama The Three Lions untuk mengharungi satu perlawanan.

England layak ke Piala Dunia ketika dibimbing oleh bekas pemain Crystal Palace, Aston Villa dan Middlesbrough itu, selepas menjuarai Kumpulan F dengan kelebihan lapan mata ke atas Slovakia.

Sebelum mengendalikan skuad senior, Southgate bersama skuad England B-21, dan ia merupakan kali pertama Southgate bertemu Kane, penyerang Totteham yang mempamerkan aksi cemerlang buat skuad kebangsaan dalam kedua-dua peringkat.

"Southgate adalah seorang pengendali yang berkualiti, saya telah berkhidmat bersama beliau dalam skuad B-21, jadi kami memiliki persafahaman yang baik. Pemain-pemain menyokongnya dan Southgate mula mendedahkan pendekatannya kepada kami," kata Kane.

"Beliau seorang yang berani -- Southgate mengetengahkan pendekatan menekan pasukan lawan dan mahu kami menyerang. Saya berasakan beliau melakukan tugasnya dengan baik," katanya.

Menjelang undian Piala Dunia, Kane berkata dia tidak terlalu memikirkan mengenai lawannya di Russia nanti walaupun mungkin diundi bersama Jerman, Brazil, Perancis atau Argentina.

"Jika anda mahu memenangi kejohanan ini, anda perlu bermain dengan lawan yang hebat," ujarnya.

Kane telah berkembang menjadi penyerang paling berbisa sejak beberapa tahun ini, dengan menamatkan musim Liga Perdana Inggeris sebagai penjaring terbanyak dua musim berturut-turut.

"Saya berasakan saya telah meningkat dari tahun ke tahun. Ia adalah sasaran saya untuk menjadi penyerang berbisa," hujahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen