ENGLAND 2 MALTA 0

Gareth Southgate memuji aksi yang dipamerkan oleh Jesse Lingard yang membuat penampilan sulung bersama England ketika menewaskan Malta 2-0 di Wembley.

England meraih tiga mata penuh ketika menerima kunjungan Malta dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, dengan gol dijaringkan oleh Daniel Sturridge pada minit ke-29 dan Dele Alli lapan minit kemudian.

Kemenangan England ini meletakkan mereka di persada Kumpulan F dengan enam mata.

Alli, yang beraksi sebagai pemain nombor 10, memiliki banyak peluang dengan kapten pasukan, Wayne Rooney, beraksi di bahagian tengah tetapi aksi yang dipamerkan Lingard berjaya memikat hati Southgate.

"Jesse Lingard telah mempamerkan penampilan sulung yang cemerlang dan merupakan ancaman buat Malta," kata Southgate.

"Dia memiliki mentaliti yang kuat dan seorang pemain yang menarik. Dia gemar beraksi di pentas tertinggi dan Lingard telah menjaringkan dua gol di Wembley untuk United.

"Kami telah bermain dengan baik dalam separuh masa pertama dan mampu meledak lebih banyak gol, namun penjaga gol Malta berjaya menyelamatkan banyak percubaan kami."

Terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa Roberto Mancini adalah antara calon utama untuk menjadi pengurus England yang seterusnya, tetapi Southgate hanya mahu memberikan tumpuan buat baki tiga perlawanan yang akan datang.

"Tugas saya adalah untuk mendapatkan keputusan yang positif untuk memastikan England kekal sebagai pendahulu kumpulan. Kami perlu terus mencipta kemenangan."