England perlu mula membiasakan diri memegang status pilihan selepas undian kelayakan Euro 2020 diumumkan, kata pengurus The Three Lions, Gareth Southgate.

Pasukan tangga keempat Piala Dunia 2018 itu diundi dalam Kumpulan A dan bakal berdepan Republik Czech, Bulgaria, Montenegro dan Kosovo dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke kejohanan itu.

Prestasi cemerlang dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA membolehkan mereka mengesahkan sekurang-kurangnya slot play-off selepas mengungguli peringkat kumpulan mengatasi Sepanyol dan Croatia susulan persembahan hebat di Russia.

Juara dunia 1966 itu menarik perhatian peminat dengan corak permainan menghiburkan serta kepercayaan yang diberikan Southgate kepada pemain muda, namun pengurus itu memberitahu pasukannya untuk mula berusaha memenuhi harapan yang diberikan.

"Kami adalah pilihan dan itu sesuatu yang perlu kami biasakan," kata Southgate.

"Kami bakal berdepan harapan besar dalam beberapa tahun akan datang dan menyesuaikan diri adalah kunci utama pembangunan pasukan. Lihat, ia terpulang kepada kami.

"Saya rasa ia bakal menjadi 18 bulan yang menarik. Kami terus mara ke depan dan meraih peluang besar kerana menjadi tuan rumah bagi sesetengah perlawanan Euro 2020. Jadi, kami akan memastikan kami berada dalam kejohanan.

"Selepas Piala Dunia 2018, ia bakal menjadi tempoh dua tahun yang menarik dan menghadirkan peluang buat pemain kami," katanya lagi.