Gareth Southgate telah dilantik selaku pengendali sepenuh masa England selepas menandatangani kontrak selama empat tahun.

Ketua jurulatih berusia 46 tahun itu dilantik selaku pengendali sementara The Three Lions, September lalu, susulan pemecatan Sam Allardyce -- yang hanya sempat mengendalikan England untuk satu perlawanan -- ekoran terlibat dengan rasuah bola sepak.

Sejak diambil alih Southgate, England telah menang dan seri dua kali dan keputusan itu sudah cukup meyakinkan Persatuan Bola Sepak England (FA) bahawa dia adalah calon tepat untuk memimpin England dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Euro 2020.


Southgate, yang sebelum ini menegaskan dia tidak merancang untuk menjadi pengendali sepenuh masa, berkata: "Saya sangat berbangga untuk dilantik selaku pengendali England.

"Bagaimanapun, saya tetap berwaspada kerana tugas ini bukan mudah, saya mahu melaksanakan tugas saya dengan jayanya.

"Saya telah menempuh saat yang bermakna bersama pemain selama empat perlawanan ini dan saya nampak kami miliki skuad yang berpotensi.

"Saya bertekad untuk memberikan segalanya demi England. Secara peribadi, saat ini kami perlu bekerja lebih keras."

Sementara itu, pelantikan Southgate bukanlah satu berita mengejut tatkala Ketua Eksekutif FA, Martin Glenn, berkata bekas pemain pertahanan itu merupakan calon pilihan untuk mengisi kekosongan tersebut.

"Kami teruja dengan pelantikan ini.

"Dia merupakan individu yang kami kenali dengan rapat tetapi pengetahuannya terhadap bola sepak antarabangsa merupakan faktor utama pelantikannya.

"Dia telah mengendalikan England dengan baik dalam tempoh empat perlawanan setakat ini."