Pengendali Bayer Leverkusen, Roger Schmidt, berkata penyerang Tottenham, Son Heung-min, akhirnya mempamerkan potensi sebenarnya menjelang aksi Liga Juara-Juara bertemu bekas pasukannya.

Pemain kebangsaan Korea Selatan itu menyertai Spurs dari kelab Bundesliga itu dengan nilai perpindahan sebanyak GBP22 juta pada Ogos 2015 dan kini bakal berdepan bekas pasukannya buat pertama kali sejak berhijrah ke England.

Selepas gagal berada dalam kesebelasan utama pada musim pertama, Son mempamerkan aksi yang mantap sejak permulaan musim 2016-17, meledak lima gol dalam tujuh penampilan, termasuk gol kemenangan Spurs ke atas CSKA Moscow.

Tottenham kini menduduki tempat kedua dalam kumpulan, satu mata di hadapan Leverkusen menjelang pertemuan di Jerman, awal pagi Rabu.

"Son kini telah mempamerkan kualiti sebenarnya dan saya berharap ia akan berterusan," kata Schmidt.

"Dia bersama kami selama setahun, dia merupakan pemain yang berbakat.

Ancaman utama Leverkusen adalah Javier Hernandez, yang kini telah menjaringkan tujuh gol musim ini, termasuk ketika seri 1-1 dengan Monaco.

"Statistik ini menunjukkan jika dia berpeluang untuk beraksi, dia akan menjaringkan gol.

"Pengalamannya beraksi bersama Manchester United dan Real Madrid, dua kelab gergasi di Eropah, memberikan kelebihan kepadanya."