Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan Scott McTominay mengalami kecederaan buku lali ketika Manchester United menewaskan Partizan Belgrade awal pagi tadi, namun tidak gusar mengenai keadaan Harry Maguire.

United mengesahkan tempat ke pusingan 32 selepas meraih kemenangan 3-0 di Old Trafford hasil jaringan Mason Greenwood, Anthony Martial dan Marcus Rashford.

McTominay terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua gara-gara kecederaan buku lali manakala keadaan Maguire turut membimbangkan.

Walaupun menegaskan dia tidak risau dengan keadaan Maguire, pengurus United itu mengesahkan keadaan sebaliknya buat McTominay.

"Saya fikir Harry akan baik-baik sahaja, dia dapat menamatkan perlawanan," katanya kepada MUTV.

"Scott agak merisaukan, jadi kita perlu lihat perkembangannya dalam beberapa hari ini.

"Dia kata dia tiada apa-apa sewaktu di atas padang dan dia kata 'saya tidak akan apa-apa'.

"Dia amat tabah tetapi dia perlu dikeluarkan.

"Saya harap dia sempat pulih Ahad ini (perlawanan menentang Brighton and Hove Albion) tetapi saya tidak tahu.

"Saya tidak tahu apa yeng terjadi kepada buku lalinya, saya fikir dia tercedera di situ," katanya.

Dengan menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris, United akan menentang Brighton, Ahad ini.

Kemenangan ke atas Partizan memberikan skuad kendalian Solskjaer itu keyakinan, terutama barisan depan yang dibarisi pemain muda, Greenwood, Rashford and Martial.

"Sebab utama kami menggandingkan ketiga-tiga mereka adalah kerana kami tahu mereka merupakan trio yang amat berbahaya.

"Tahniah kepada Mason kerana mempamerkan penyudah yang amat-amat tenang.

"Dia amat tenang dan menunggu pergerakan penjaga gol.

"Gol kedua daripada Anthony merupakan kemahiran terbaik sepanjang malam ini.

"Kemudian, amat baik untuk melihat Rashford melakukan penyudah kaki kiri.

"Dia akan berada di posisi itu dengan lebih kerap selepas ini.

"Untuk dia beraksi di bahagian luar dan masuk dari sebelah kiri amat menyukarkan pertahanan lawan.

"Ia amat bagus buat kami kerana dia boleh masuk ke dalam dari bahagian kanan untuk menyudahkannya dengan kaki kirinya," tambahnya.