Ole Gunnar Solskjaer berkata Manchester United sengaja mengundang padah selepas jentera serangan mereka tumpul ketika bertemu Sevilla dalam separuh akhir Liga Europa.

Kekalahan 1-2 di Cologne awal pagi tadi mengakhiri musim United dan daripada perspektif pengurus itu, ia sesuatu yang mengecewakan.

Beliau berpendapat "kelesuan kaki dan minda" pada penghujung permainan menyaksikan Luuk de Jong menyumbat gol kemenangan Sevilla pada minit ke-78.

"Salah satu daripada peluang itu jika dimanfaatkan akan meletakkan kami di kedudukan yang selesa," katanya kepada BT Sport.

"Tetapi itu bukan selalunya terjadi dalam bola sepak. Kami mempunyai detik dan penguasaan dalam kedua-dua babak dan kami sepatutnya mampu mencetak beberapa gol lagi.

"Begitupun, apabila anda tidak mengambil kesempatan itu, ia akan menjadi sukar. Kami memiliki pasukan yang muda -- rata-ratanya tiga tahun lebih muda daripada pihak lawan -- dan saya fikir dalam beberapa detik hari ini, kami menunjukkan bahawa kumpulan pemain ini harus belajar dan dapatkan ketekalan dalam permainan mereka."

Mason Greenwood, Anthony Martial dan Marcus Rashford melepaskan peluang terhidang dengan gol United hadir menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes pada minit kesembilan.

Suso menyamakan kedudukan tidak lama kemudian sebelum De Jong mengambil kesempatan ke atas pertahanan goyah The Red Devils untuk merakamkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.

Ini bererti musim ini United terkandas di peringkat separuh akhir Piala FA, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa.



Pengurus United itu menganggap pasukannya "ada kalanya memukau" sambil memuji prestasi penjaga gawang Sevilla, Yassine Bounou, yang berjaya menafikan peluang-peluang berharga pasukannya.

"Penjaga gol pasukan lawan memberikan persembahan hebat," katanya.

"Tentu ia sesuatu yang mengecewakan kami kerana gagal menokok gol kerana kami tahu kami mempunyai pemain yang memiliki kualiti itu tetapi sekali lagi, inilah bola sepak."

Dia berasa Fernandes seharusnya dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas dikasari pada satu tahap selain kesal kedua-dua jaringan kelab Sepanyol itu sepatutnya boleh dipatahkan..

Fernandes telah membuat perbezaan ketara sejak dibeli daripada Sporting CP pada akhir Januari lalu untuk membantu United melonjak ke tangga ketiga EPL dan meneruskan kemaraan di Eropah.

Pengendali kelahiran Norway itu mendedahkan sedang berusaha untuk mengukuhkan skuadnya sambil menekankan: "Prestasi kami agak jauh berbeza berbanding Februari lalu."