MANCHESTER UNITED 4 AZ 0

Ole Gunnar Solskjaer enggan Mason Greenwood dibanding-bandingkan dengan Wayne Rooney selepas penyerang muda itu membintangi kemenangan 4-0 Manchester United ke atas AZ dalam Liga Europa di Old Trafford awal pagi tadi.


United meneruskan kebangkitan mereka bulan ini walaupun memaparkan aksi kurang bersemangat dalam babak pertama menentang lawan dari Eridivisie itu sebelum Greenwood tampil memukau.

Selepas Ashley Young membuka jaringan, penyerang berusia 18 tahun itu menghasilkan dua penyudah gemilang di antara jaringan penalti Juan Mata.

Keempat-empat gol itu tercipta dalam tempoh 11 minit dalam babak kedua dengan skuad kendalian Solskjaer itu menamatkan saingan Kumpulan L selaku pendahulu menjelang majlis undian pusingan 32, Isnin ini.

"Dia seorang penyudah dalam kelas berbeza," katanya kepada BT Sport.

"Ketika di sekitar atau di dalam kotak penalti, anda menjangkakan dia akan melakukan percubaan dan ia percubaan yang tepat.

"Dia amat tepat ketika melakukan penyudah.

"Dia amat bagus ketika mencipta ruang untuk dirinya sendiri," katanya.

Solskjaer turut ditanya mengenai persamaan prestasi itu dengan satu lagi malam gemilang di peringkat Eropah ketika Wayne Rooney yang berusia 18 tahun menandakan penampilan pertamanya dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan hatrik ke atas Fenerbahce.

"Tidak, tidak, tidak. Dia pemain berbeza.

"Mason bukan Wazza tetapi dia pasti menikmati malam ini.

"Satu perkara tentang Mason, dia sudah mula memikirkan tentang perlawanan hujung minggu ini -- dia tidak akan berehat dengan santai," katanya.

Selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur dan Manchester City, Solskjaer berasakan pasukannya akan menghadapi Everton hujung minggu ini dengan kekuatan berbeza.

"Ia amat baik, banyak perkara boleh berubah dalam seminggu tetapi kami tidak sabar untuk menghadapi setiap perlawanan. Mereka kumpulan (pemain) yang hebat.

"Saya tidak sabar untuk melihat apa yang akan terjadi bulan ini kerana mereka telah berkembang menjadi kumpulan yang bagus," katanya lagi.