Ole Gunnar Solskjaer berharap Paul Pogba dapat memberikan Manchester United "sumbangan besar sehingga penghujung musim" selepas pemain itu memberikan impak segera sebaik pulih daripada kecederaan.

Selepas tidak beraksi sepanjang 10 perlawanan terakhir United, Pogba menjaringkan gol kemenangan hanya tiga minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika berdepan AC Milan dalam Liga Europa (UEL), di mana jaringan itu sudah cukup untuk memberikan The Red Devils kemenangan 1-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 di San Siro.

Keputusan itu sudah memadai untuk pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu layak ke suku akhir dengan agregat 2-1 dan akan menantikan lawan mereka dalam majlis undian hari ini.

Solskjaer gembira dengan kepulangan pemain kebangsaan Perancis itu, terutama dengan prestasi menakjubkannya selepas pulih daripada kecederaan pinggul yang dialaminya ketika berdepan Everton awal Februari lalu.

"Kami merindui Paul, dia tidak beraksi lebih dua bulan dan mana-mana pasukan pasti akan merindukan pemain seperti Paul Pogba," kata Solskjaer kepada BT Sport.

"Dia terus mendapatkan prestasinya semula. Dia amat penting buat kami dan akan memberikan sumbangan besar sepanjang baki musim ini. Hari ini dia menghasilkan perbezaan yang amat-amat besar," katanya.

United melepaskan gol pada minit-minit terakhir dalam perlawanan pertama di Old Trafford tetapi kali ini, mereka utuh dan tidak dibolosi lawan dari Itali itu.

Penjaga gol, Dean Henderson, beraksi cemerlang menafikan percubaan Zlatan Ibrahimovic manakala Victor Lindelof dan Harry Maguire kental mempertahankan kubu pasukan pelawat itu.

Seterusnya, The Red Devils akan menghadapi Leicester City dalam suku akhir Piala FA hujung minggu ini sebelum menuju ke waktu rehat antarabangsa.