ISTANBUL BASAKSEHIR 2 MANCHESTER UNITED 1

Ole Gunnar Solskjaer mengakui "sukar untuk bersikap positif" gara-gara kesilapan pertahanan yang "tidak dapat dimaafkan" menyaksikan Manchester United rebah di tangan Istanbul Basaksehir.


Rekod 18 perlawanan tanpa kalah The Red Devils, yang menumpaskan Paris Saint-Germain (PSG) dan RB Leipzig dalam dua perlawanan pertama Kumpulan H Liga Juara-Juara (UCL), di tempat lawan lebur dalam kekalahan 1-2, awal pagi tadi.

Basaksehir memimpin perlawanan selepas penyerang berusia 35 tahun, Demba Ba, dibiarkan berseorangan dari kawasan sendiri untuk meluru ke pintu gol yang dikawal Dean Henderson sejurus United mengambil sepakan sudut pada minit ke-12.

Tuan rumah bertambah selesa untuk kedudukan 2-0, lima minit sebelum rehat apabila Edin Visca menghukum Juan Mata yang kehilangan bola di kawasan sendiri dan biarpun jaringan Anthony Martial berhasil merapatkan jurang, United hanya dapat melepaskan satu percubaan tepat melalui sepakan percuma Bruno Fernandes.

Lantaran itu, bekas pemain tengah United, Paul Scholes, membandingkan corak bertahan dalam gol pembukaan itu yang menyaksikan sembilan pemain anak buah Solskjaer berada di dalam atau di sekitar kawasan penalti lawan sementara Nemanja Matic pula tidak mengawal Ba, ia seperti "perlawanan bola sepak B-10", katanya kepada BT Sport.

"Apa yang keempat-empat pertahanan itu sedang lakukan, saya tidak tahu."

Bekas rakan sepasukannya, Rio Ferdinand, turut meluahkan kekecewaannya terhadap pertahanan United dengan mengatakan: "Gol yang kami bolosi, tolong katakan padaku seseorang akan naik gila di bilik persalinan dan ada orang yang perlu bertanggungjawab"




Solskjaer menerima kecaman hebat ekoran prestasi pasukannya selepas tewas 0-1 kepada Arsenal di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

"Prestasi kami tidak cukup baik ketika berdepan pasukan yang berlari dan bekerja keras lalu menghukum kami dalam serangan balas," katanya di laman sesawang United.

"Kami tidak bertahan dengan baik. Jaringan pertama berlaku ketika kami cuba membuat hantaran sudut pendek tetapi terlupa ada pemain lawan yang menanti dan ia tidak dapat dimaafkan.

"Yang kedua, kami kehilangan bola dan kami tidak cukup teratur. Oleh itu, dua gol mudah telah dilepaskan dan kami tidak mempunyai cukup waktu untuk bangkit dalam separuh masa kedua.

"Kami menjaringkan gol yang menarik menerusi Anthony dan kemudian anda terlintas, 'ada 45 minit untuk menyelamatkan sesuatu' jadi kami mengerahkan segala kudrat namun kami gagal merobohkan benteng mereka.

"Ia mengecewakan kami. Itulah hakikatnya apabila akan beraksi di sini. Anda tidak akan dapat memungut tiga mata mudah dalam UCL. Mereka memiliki ramai pemain yang bagus, cukup bersedia dan teratur. Prestasi kami pula tidak cukup baik.

"Bukan mudah untuk bersikap positif, tidak apabila pemain saya memperagakan aksi seperti ini."